
TIGA PEMENTASAN TEATER MELAYU WARNAI PANGGUNG BANGSAWAN
BANDARAYA MELAKA 6 Mei – Tiga naskhah teater yang menyentuh nilai sejarah, budaya, dan jati diri bangsa bakal dipentaskan dalam usaha memperkasa semula seni warisan Melayu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata pementasan ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu manifestasi tamadun melalui seni persembahan yang membina bangsa.
Tambah beliau, lebih membanggakan, dua daripada tiga naskhah yang dipentaskan kali ini menonjolkan watak-watak wanita Melayu yang berwibawa seperti Tun Fatimah, Tun Kudu dan Tun Teja.
“Tiga pementasan ini adalah Teater Bangsawan Sahmura : Empayar Melaka (23 Mei hingga 25 Mei 2025), Tinta Runtuhan : Bila Keris Berdenting Berbisik (31 Mei 2025) dan Teater Tradisional Tun Fatimah : Srikandi Empayar Melaka (13 hingga 15 Jun 2025) yang diadakan di Panggung Bangsawan.
“Kesemua kisah ini melambangkan kepimpinan, keberanian dan kebijaksanaan dalam lipatan sejarah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran pementasan tiga teater berkenaan di Panggung Bangsawan di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka Ezlina Elias.
Menurut Kalsom, pementasan itu adalah hasil kerjasama rentas negara antara Pertubuhan Teater Melaka dan Kumpulan Sriwana, berlandaskan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai semasa Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam ke-22 di Singapura, Oktober lalu.
“Barisan pelakon ternama seperti Neera Azizi, Julia Larica, Ashraf Muslim, Al Jufferi Jamari, Datuk Jalaluddin Hassan serta ramai lagi, dijangka menghidupkan naskhah-naskhah ini dengan penuh semangat dan jiwa seni.
“Justeru saya menyeru semua masyarakat, terutama generasi muda, agar menyokong seni anak tempatan ini.
“Marilah kita raikan warisan bangsa dan pastikan seni persembahan Melayu terus mekar di pentas dunia,” katanya.
Sementara itu, Kalsom pada sidang media pementasan teater tersebut akan terus menyokong usaha berkenaan khususnya dalam mengangkat sejarah Melaka.
“Sebagai Exco Kerajaan Negeri saya menyokong penuh usaha ini dan akan membantu sebaiknya apa sahaja program yang melibatkan sejarah di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.