Sorting by

×

GUNA PELUANG WRUR SELESAI MASALAH – SULAIMAN 

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 Mei – Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dipelawa untuk bersama-sama menjayakan dan memanfaatkan penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di DUN berkenaan dari 18 hingga 31 Mei ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, program sempena WRUR DUN Lendu nanti disusun agar lebih menyeluruh dan paling utama disertai penduduk atau komuniti setempat.

Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka ke-12 amat berharap orang Lendu memanfaatkan penganjuran WRUR sebagai saluran untuk menyuarakan permasalahan dihadapi mereka seterusnya berbincang dengan wakil agensi atau jabatan bagi mencari penyelesaian.

“Saya mahu program ini mendapat sambutan daripada seluruh rakyat dan apabila WRUR di DUN Lendu tamat nanti, penganjurannya memberikan impak serta kesan kepada rakyat selain mencapai objektifnya. Kepada penduduk DUN Lendu saya minta datang beramai-ramai ke program WRUR, kerana ini adalah masa terbaik untuk kita bersama-sama menyelesaikan isu dihadapi di kawasan masing-masing.

“Justeru pada sesi ‘town hall’ yang akan diadakan nanti kita amat mengharapkan kehadiran seramai mungkin penduduk DUN Lendu,” katanya. ketika ditemui selepas Temu Bual Khas Program WRUR DUN Lendu di Melaka FM, hari ini.

Selain itu, Sulaiman amat berharap WRUR DUN Lendu akan menjadi medan terbaik dalam menyelesaikan segala permasalahan rakyat setempat khususnya berkaitan isu banjir, saliran dan perparitan.

Menurut Sulaiman lagi, berbaki kurang dua minggu sebelum bermulanya WRUR DUN Lendu, segala perancangan berjalan lancar dan persiapan sudah mencapai 80 peratus.

“Sepanjang dua minggu WRUR, kami di DUN Lendu menyusun sebanyak 133 program, mesyuarat penyelarasan juga sudah dilakukan, termasuk perbincangan yang melibatkan pengerusi induk program. Mesyuarat terakhir dijadualkan pada 13 Mei depan bagi penyelarasan akhir atau ada pertukaran lokasi program.

“Bagi memastikan perjalanan program ini mencapai sasaran, hebahan termasuk jadual berkaitan program akan dibuat secara agresif termasuk menggunakan media sosial dan konvensional,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

497
Kongsi :
Previous post SASAR LAHIR PEMIMPIN BELIA HOLISTIK – ITP
Next post KOLEJ KOMUNITI JASIN TARIK MINAT PELAJAR SERTAI TVET