Sorting by

×

WRUR: WARGA SUNGAI UDANG PERLU AMBIL PELUANG SUARAKAN ISU SETEMPAT

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

SUNGAI UDANG 19 Mei – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) jadi medan libat urus sebenar dalam menyelami denyut nadi masyarakat  selain menyelesaikan isu rakyat secara tuntas serta realistik.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata peluang berjumpa empat mata dengan pemimpin termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf sendiri tanpa protokol mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri  untuk mendekati dan membantu rakyat.

Katanya, bagi tempoh dua minggu  pelaksanaan WRUR, semua Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan turun padang bagi berbincang, seterusnya mencari penyelesaian masalah rakyat.

“Setakat ini dua WRUR telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi dan Pengkalan Batu.

“Sekarang WRUR DUN Sungai Udang dijalankan serentak bersama DUN Lendu, pada kesempatan ini juga saya menjemput warga Sungai Udang manfaatkan peluang yang ada untuk suarakan masalah dihadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Sempena Program WRUR DUN Sungai Udang di Dewan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Paya Rumput Jaya, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem bersama timbalannya, Siti Faizah Abd Azis; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi@Mohd Hasim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Otman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata mewakili Kerajaan Negeri, beliau menzahirkan harapan Ketua Menteri yang mahu warga Sungai Udang untuk turun bersama-sama menyokong semua program.

“Pelbagai program yang telah disusun sepanjang dua minggu ini jadi warga Sungai Udang perlu bijak ambil peluang mendekati wakil rakyat bersama-sama Jabatan dan Agensi memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Apa sahaja aduan atau permasalahan yang tidak selesai membabitkan jalan raya atau apa sahaja dalam DUN Sungai Udang diadukan terus kepada agensi terbabit, “ katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

656
Kongsi :
Previous post PELANCONGAN KESIHATAN: MELAKA SASAR KEHADIRAN 300,000 PELANCONG INDONESIA
Next post PENCAPAIAN DI BAWAH PENTADBIRAN KETUA MENTERI DATUK SERI UTAMA AB RAUF YUSOH: PENTADBIRAN