Sorting by

×

AGENDA PENDIDIKAN JADI FOKUS WRUR SUNGAI UDANG

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

SUNGAI UDANG 19 Mei – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang kini sedang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang menjadi manifestasi bahawa aspek pendidikan menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri.

Berlangsung selama dua minggu, WRUR Sungai Udang membuktikan inisiatif turun padang itu turut memberi tumpuan dalam agenda pendidikan menerusi beberapa siri ziarah kasih dan penyampian sumbangan yang diadakan di segenap pelusuk DUN.

Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin memaklumkan, antara program melibatkan agenda pendidikan yang disusun adalah jelajah ke sekolah-sekolah bagi penyampaian kek bersempena hari guru.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri memaklumkan, sebanyak 15 buah sekolah, terdiri daripada sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah agama telah dikunjungi bagi menghargai jasa pendidik yang banyak berkorban dalam membentuk anak bangsa.

Selain itu, jelas beliau, turut diadakan pemasangan plak taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar sebagai usaha menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak hanya di taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka.

“Sebanyak dua buah taska telah terpilih dan dikunjungi dan diberikan plak taska berdaftar, di mana ia merupakan satu inisiatif yang amat baik dalam meningkatkan keyakinan ibu bapa.

“Dengan adanya plak ini, ibu bapa tidak perlu risau dan boleh mengimbas kod QR untuk mengetahui maklumat berkaitan taska dan kapasiti pelajar yang ada,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menampal plak taska berdaftar di Taska Asybal di Pusat Niaga Desa Taming Sari, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Pengarah JKM Melaka Halyjah Muhammad; Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Cawangan Sungai Udang Datin Ernie Aidilia Karim serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Rais berkata, tidak hanya menumpukan kepada agenda pendidikan biasa semata-mata, malah, WRUR DUN Sungai Udang turut cakna dan prihatin terhadap pendidikan anak-anak istimewa yang mendapatkan pembelajaran serta latihan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).

Jelas beliau, menerusi program itu telah diadakan penyampaian kad orang kurang upaya (OKU) kepada 12 anak-anak istimewa, selain beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi bagi membantu pusat pendidikan khas tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

447
Kongsi :
Previous post ELAK UDANG GALAH PUPUS DI SUNGAI PAYA LEBAR
Next post HOSPITAL WANITA DAN KANAK-KANAK MELAKA MULA DIBINA TAHUN DEPAN