Sorting by

×

HOSPITAL WANITA DAN KANAK-KANAK MELAKA MULA DIBINA TAHUN DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

SERI NEGERI 19 Mei – Projek pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Melaka dijangka bermula tahun depan selepas semua proses teknikal dan kelulusan dilengkapkan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pembinaan hospital tersebut mengambil masa lima tahun untuk siap sepenuhnya.

“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2031. Kita berusaha sedaya upaya untuk memastikan rakyat Melaka, terutama wanita dan kanak-kanak dapat menikmati kemudahan kesihatan yang moden dan selesa secepat mungkin.

“Ia telah diluluskan dalam Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober 2022 dengan kos asal sebanyak RM696 juta.

“Permohonan Notis Perubahan (NOC) bagi peningkatan kos sebanyak RM27 juta telah dikemukakan pada 12 Disember 2024 dan telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi melalui surat bertarikh 9 Mei 2025, maka kos terkini bagi projek ini adalah sebanyak RM723 juta,” katanya pada sidang media berkaitan projek pembinaan hospital itu di pejabatnya di Blok Bendahara, Seri Negeri, hari ini.

Menurut Hee Sem ketika ini Jawatankuasa Kerja Kesihatan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang memuktamadkan dokumen ‘need statement’ melalui satu bengkel yang akan diadakan esok (20 Mei 2025).

“Selepas ‘need statement’ dimuktamadkan, proses tender pra-kelayakan akan dimulakan. Ini akan melibatkan dua peringkat tender yang ketat, termasuk penilaian latar belakang dan kewangan syarikat.

“Hospital ini akan dibina di tapak bekas Kolej Kejururawatan Melaka Jalan Mufti Haji Khalil.

“Ia akan melibatkan pelbagai kerja teknikal seperti pelebaran jalan, sistem perparitan, pengambilan tanah dan koordinasi dengan pelbagai agensi dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), JKR dan Koperasi Konsumer Malaysia Berhad (KKMB) selaku agensi pelaksana,” katanya.

Katanya sebelum ini pelbagai mesyuarat, lawatan tapak dan proses teknikal yang perlu dipatuhi telah dilaksanakan.

“Bukan mudah untuk melakasanakan projek bernilai lebih RM700 juta. Kita mahu robohkan bangunan asal itu pun sudah ambil.

“Ini semua makan masa, bukan kita tidak buat, kalau boleh kita mahu pembinaan hospital ini lebih cepat seperti yang dijanjikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2296
Kongsi :
Previous post AGENDA PENDIDIKAN JADI FOKUS WRUR SUNGAI UDANG
Next post WRUR MEDAN BENTUK EKOSISTEM MASYARAKAT INKLUSIF, HARMONI