Sorting by

×

MELAKA, WESTSTAR BANGUNKAN PUSAT KECEMERLANGAN PENERBANGAN DI LTAM

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

LANGKAWI 20 Mei – Sebuah Pusat Kecemerlangan Penerbangan akan dibangunkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) hasil pemeteraian memorandum persefahaman di antara Kerajaan Negeri Melaka dengn Weststar Aviation Sdn Bhd.

Lebih bersejarah, MoU itu dimeterai pada penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang berlangsung di Langkawi, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memaklumkan, pemeteraian MoU itu merangkumi tiga komponen utama iaitu Pusat Latihan Penerbangan Helikopter; Hab Penyelenggaraan Helikopter (MRO-Maintenance, Repair & Overhaul); dan Hab Logistik Helikopter.

“Ini merupakan satu pelaburan strategik yang amat signifikan dan dijangkakan membawa impak positif jangka panjang kepada ekonomi negeri dan pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang TVET dan kejuruteraan penerbangan.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya tujukan kepada pihak Weststar Aviation, khususnya Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim atas kepercayaan dan komitmen tinggi untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor aeroangkasa,” katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani MoU berkenaan di antara Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad yang mewakili Kerajaan Negeri, manakala Weststar Aviation Sdn Bhd diwakili Syed Muhammad Azni Syed Azman di Mahsuri International Exhibition Cenre, Langkawi, di sini, hari ini.

Turut hadir menyaksikan majlis Mou berkenaan adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Duta Besar Itali Ke Malaysia, Massimo Rustico.

Turut bersama Timbalan Menteri Pertahanan Itali, Matteo Perego di Cremnago; Pengerusi Weststar Aviation Sdn Bhd Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri memaklumkan, susulan lawatan tapak bersama pada 15 April lalu, pihak Weststar Aviation telah menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan lokasi seluas 6.92 hektar (17.1 ekar) dalam kawasan LTAM untuk pembangunan itu, tertakluk kepada penilaian teknikal lanjut.

Jelas beliau, MoU tersebut memperuntukkan tempoh dua tahun bagi kedua-dua pihak memuktamadkan bentuk kerjasama dan perinciannya, selain membuka ruang bagi meneroka peluang kerjasama baharu yang memberi manfaat bersama.

“Kami di peringkat Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik inisiatif ini kerana ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak Melaka, malah turut menjadikan LTAM sebagai sebuah Hab Penerbangan serantau yang berdaya saing.

“Diharapkan kerjasama ini menjadi permulaan kepada lebih banyak pelaburan berimpak tinggi di Melaka serta melonjakkan nama negeri ini sebagai pemain penting dalam industri penerbangan negara,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

720
Kongsi :
Previous post SENARIO ‘GEGAR’ PEMENTASAN TEATER MUZIKAL LAWAK DI PANGGUNG BANGSAWAN
Next post MELAKA REKOD KUTIPAN ZAKAT HAMPIR RM60 JUTA SUKU KEDUA 2025