
MELAKA REALISASIKAN IMPIAN RAKYAT MILIKI RUMAH SENDIRI – LPM
AYER KEROH 21 Mei – Projek Rumah Mampu Milik (RMM) dan Program Melaka Rumahku cerminan kesungguhan Kerajaan Negeri memastikan impian setiap keluarga untuk memiliki rumah sendiri menjadi realiti.
Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin berkata, pelaksanaan dasar perumahan yang progresif di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah membuka lebih banyak peluang kepada rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah sendiri.
“Kerajaan Negeri menetapkan syarat kepada semua projek perumahan melebihi 4.05 hektar (10 ekar) supaya memperuntukkan sekurang-kurangnya 50 peratus unit sebagai RMM.
“Ini termasuk kategori harga RM70,000, RM120,000, RM180,000 dan RM250,000 yang disasarkan kepada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Jelas beliau, sehingga 31 Mac 2025 sejumlah 56,701 unit RMM telah dirancang di seluruh negeri Melaka dan daripada jumlah itu, 15,911 unit telah siap dibina, 19,545 unit dalam pembinaan, manakala 21,245 unit lagi telah mendapat kelulusan dan sedang dalam peringkat perancangan.
“Laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan bahawa purata harga rumah di Melaka kekal sebagai paling rendah di negara ini, iaitu RM245,067 bagi suku pertama 2025, jauh lebih rendah berbanding purata nasional RM486,070.
“Data ini membuktikan keberkesanan pelaksanaan dasar Kerajaan Negeri dalam mengekang kenaikan harga rumah secara tidak terkawal, berbanding negeri jiran seperti Negeri Sembilan (RM325,265) dan Johor (RM442,571),” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kadar pemilikan rumah di negeri Melaka kini mencecah 84.5 peratus dan Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan kepada 88 peratus menjelang tahun 2030.
“Bagi mencapai sasaran itu, sebanyak 4,191 unit rumah perlu disiapkan setiap tahun.
“Pada masa yang sama, Program Melaka Rumahku yang diwujudkan khas untuk membantu golongan berpendapatan rendah serta mangsa bencana turut menunjukkan pencapaian memberangsangkan.
“Setakat 30 April 2025, sebanyak 37 unit rumah telah disiapkan dan diserahkan kepada penerima yang layak, manakala lima unit lagi sedang dalam pembinaan dengan kos keseluruhan hampir RM2.5 juta,” katanya.
Tegas TPr. Murad, semua inisiatif itu membuktikan iltizam Kerajaan Negeri dalam menyediakan perumahan yang adil, mampu milik dan berkualiti, demi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat terus terjamin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.