
POLIS MELAKA SIAPKAN KERTAS CADANGAN USUL HARAMKAN PENJUALAN VAPE
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata langkah itu diambil susulan beberapa kes tangkapan yang dilakukan mendapati cecair vape mengandungi bahan terlarang termasuk ketamin selain kebimbangan terhadap peningkatan penyalahgunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah dan orang dewasa.
“Kita masih dalam proses menyiapkan kertas kerja dan pengharaman penjualan vape ini akan dicadangkan dalam masa terdekat.
“Langkah ini diambil kerana kita sedar akan implikasinya terhadap masyarakat termasuk memberi kesan terhadap kesihatan dan sosial, khususnya dalam kalangan remaja yang boleh terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata kertas cadangan itu juga akan mengupas beberapa aspek termasuk kesan sampingan penggunaan vape, peningkatan trend penggunaannya dalam kalangan pelajar serta alasan pengharaman penjualan rokok elektronik berkenaan.
Beliau berkata kertas cadangan itu juga akan mengambil kira impak ekonomi terhadap masyarakat sekiranya penjualan vape dihentikan serta-merta, selain akan berbincang dengan kerajaan negeri dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi membentangkan kertas cadangan itu.
Cadangan itu juga bertepatan dengan saranan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada bulan lepas dan setakat ini, beberapa negeri turut mengambil langkah mengharamkan penjualan vape secara menyeluruh sebagai langkah pencegahan penyalahgunaan bahan terlarang. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.