
‘NAK MASAK PUN BERDEBAR’
GADEK 20 Jun – Berdebar ketika mahu melangkah masuk ke dapur, itulah antara gelagat peserta yang baru pertama kali mengambil bahagian dalam pertandingan Melaka Culinary Challenge 2025 berlangsung selama tiga hari di Freeport A’Famosa Outlet bermula semalam hingga esok.
Mohamad Hazimi Hassan, 19, pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang berkata, selain memastikan hidangan disediakan menepati selera juri, menyiapkan hidangan dalam masa 45 minit, memasak di hadapan peserta lain dan pengunjung yang hadir adalah antara cabaran pertandingan itu.
“Pada kebiasaan di dapur saya hanya dikelilingi rakan sekelas dan pensyarah tetapi pada pentas Melaka Culinary Challenge 2025 kita memasak dalam dewan terbuka, semua mata memandang kepada kita ketika pertandingan berlangsung.
“Bagi saya ini adalah satu medan terbaik bagi mendapatkan pendedahan dalam bidang masakan, banyak boleh dipelajari dalam membantu meningkatkan lagi kemahiran dan mutu persembahan hidangan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Berbeza pula dengan Mohamad Nazran Ahmad Nazri, 22, kini bertugas sebagai cef di sebuah hotel terkemuka di negeri ini, pengalaman bekerja membantunya melangkah masuk ke dapur dengan penuh keyakinan meskipun baru pertama kali mengambil bahagian dalam pertandingan seumpama itu.
Mohamad Nazran berasal dari Teluk Intan, Perak yang mengambil bahagian dalam kategori pasta berkata, dia memilih kerjaya itu kerana minat terhadap dunia masakan sejak kecil.
“Memasak tidak lagi mengikut jantina, lelaki atau wanita, tetapi perlu ada minat dalam diri. Sambil bekerja saya asah kemahiran dan kembangkan pengetahuan, petandingan pula medan untuk mencabar kemampuan diri.
“Insya-Allah jika ada rezeki saya mahu ke luar negara, tahun lalu ada terima tawaran daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) tetapi dengan berat hati saya terpaksa tolak kerana ketika itu ibu sedang sakit,” katanya.
Sebagai graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Mohamad Nazrul mengajak belia terutamaya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk meneroka TVET.
“TVET adalah gabungan kerajinan dan kemahiran, tetapi apa juga pekerjaan memerlukan minat, insya-Allah semua urusan dipermudahkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.