Sorting by

×

MELAKA-BELANDA PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA DALAM WARISAN, SEJARAH

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 21 Jun – Usaha memperkukuhkan hubungan dua hala antara Melaka dan Belanda dalam bidang warisan dan sejarah terus diperkasa menerusi lawatan kerja rasmi delegasi Kerajaan Negeri Melaka ke National Military Museum (NMM), Soesterberg, Belanda, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mengetuai delegasi Kerajaan Negeri berkata, lawatan tersebut bertujuan mengenal pasti koleksi bersejarah yang berkait rapat dengan sejarah Melaka, khususnya semasa era penjajahan Belanda antara tahun 1641 hingga 1824.

Menurut beliau, lawatan tersebut juga memberi fokus kepada jalinan kerjasama antara agensi Negeri Melaka dengan kerajaan Persekutuan dalam kajian meluruskan sejarah.

“Pada masa sama, kerjasama penyelidikan dan dokumentasi antara agensi Kerajaan Negeri Melaka Kerajaan Persekutuan dan NMM juga dapat diterokai menerusi lawatan ini.

“Malah, ia juga membuka ruang perbincangan awal ke arah pemulangan artifak bersejarah, antaranya panji-panji yang dikaitkan dengan pertempuran antara Raja Haji Fisabilillah dengan angkatan Belanda di Teluk Ketapang pada abad-18.

“Bagaimanapun, ia perlu dibincangkan dengan teliti bersama kerajaan Belanda bagi mencapai kesepakatan antara kedua-dua pihak,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.

Lawatan itu turut disertai Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Datuk Zaidi Attan; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin Kasim; Ketua Pengarah Arkib Negara Dato’ Jaafar Sidek; Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah dan Timbalan Pengarah Kanan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia Fatimah Abdul Hai.

Tambah Ketua Menteri, menerusi lawatan tersebut, ia mencerminkan komitmen tinggi Kerajaan Megeri untuk menelusuri dan mendokumentasikan kembali warisan sejarah bangsa, yang banyak tersebar di institusi-institusi luar negara.

“Negeri Melaka ini, kalau dilipat sebesar kuku, tetapi kalau dibentangkan sejarahnya selebar alam!

“Di sebalik pelbagai kejayaan Melaka yang terus ‘mendunia’, negeri ini tidak pernah melupakan sejarah kegemilangan bangsanya sendiri yang penuh agung,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

402
Kongsi :
Previous post MAHASISWA UTEM POPULARKAN MAKANAN TRADISI
Next post LOJI WTE SUNGAI UDANG DIJANGKA SIAP 2029, AKHIRI PENANTIAN RAKYAT MELAKA