Sorting by

×

WARKAH SEJARAH BAHARU PANGLIMA AWANG AKAN DIBENTANGKAN PADA WTD 2025

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA LUMPUR 30 Jun – Inisiatif Kerajaan Negeri menjalankan kajian dan penyelidikan sejarah di luar negara telah membongkarkan satu dapatan baharu mengenai individu pertama di rantau ini mengelilingi dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, individu tersebut adalah Panglima Awang atau Enrique de Malaca selepas manuskrip asli berkaitan kisah pelayarannya ditemui di sebuah muzium di Sepanyol.

Menurut beliau, penemuan itu mengesahkan bahawa Panglima Awang yang juga anak jati Melaka berjaya mengelilingi dunia pada abad ke-16 apabila direkodkan sebagai krew dan jurubahasa penting dalam pelayaran Ferdinand Magellan.

Justeru, Ketua Menteri memaklumkan, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia dan Arkib Negara Malaysia akan membentangkan warkah baharu sejarah negara itu bagi memaparkan satu lagi kehebatan Melaka, selain menjadi sebuah kota perdagangan yang hebat pada kurun ke-14.

“Jadi, bukti-bukti dalam bentuk manuskrip asli ini akan kita pamerkan kepada semua sewaktu Melaka menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025, September depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran di Malaysia Hari Ini bagi mempromosikan Pra-Peluncuran WTD 2025 dan Rentak Bertandak Antarabangsa 2025, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Menteri, di bawah pentadbirannya, selain aspek pembangunan, khazanah warisan dan sejarah juga menjadi tumpuan utama dalam usaha untuk meluruskan sejarah yang dibengkokkan penjajah.

Pada masa sama, ujar beliau, usaha itu juga dilakukan bagi memaparkan kehebatan jati diri bangsa Melayu suatu masa dahulu.

“Membongkarkan semula sejarah dan kehebatan Melaka ini diletakkan sebagai sebahagian daripada dasar pentadbiran saya supaya ia dapat diwarisi oleh generasi akan datang sesuai bait-bait ayat ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia’,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

384
Kongsi :
Previous post HAMPIR 255,000 MANUSKRIP BERKAITAN MELAYU, MELAKA TERSIMPAN DI BELANDA
Next post KINI LEBIH MUDAH SEMAK TASKA BERDAFTAR DI MELAKA