
KINI LEBIH MUDAH SEMAK TASKA BERDAFTAR DI MELAKA
BEMBAN 30 Jun – Sebanyak 150 taman asuhan kanak-kanak (taska) di Melaka direkodkan telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat Jun.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin berkata, kesemua premis itu telah dipasang Plak Taska Berdaftar yang dilakukan secara berperingkat.
Beliau berkata, setiap plak yang dipasang itu dilengkapi dengan Kod Respons Pantas (QR), di mana ibu bapa atau orang awam boleh mendapatkan maklumat berkaitan taska berkenaan di hujung jari.
“Kita tidak mempunyai angka yang tempat bagi keseluruhan taska namun setakat ini taska yang berdaftar dengan JKM adalah sebanyak 150 buah.
“Namun begitu kita anggarkan terdapat kira-kira 50 lagi taska yang beroperasi di luar sana masih atau dalam proses pendaftaran.
“Untuk itu JKM kini giat menjalankan penguatkuasaan keatas premis-premis ini supaya dapat berdaftar kerana jika kita lihat kebanyakkan kes atau insiden tidak diingingi kebiasaannya membabitkan taska yang tidak berdaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Hari Interaksi Kanak-Kanak Dan Pemasangan Plak Taska sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen dan Setiausaha Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) Datin Ernie Aidilia Karim.
Kalsom berkata, pemasangan plak yang dilaksanakan dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu bertujuan memudahkan ibu bapa khususnya mengenal pasti taska berdaftar sebelum menghantar anak mereka.
“Menerusi kod QR disediakan ibu bapa dapat mengakses dan menyemak sama ada taska itu berdaftar, selain melihat jumlah bilangan penghuni yang ditempatkan di premis itu.
“Malah kita juga tidak berkompromi dengan pihak atau taska yang tidak berdaftar justeru itu tindakan penguatkuasaan akan diambil termasuk mengeluarkan kompaun dan sitaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.