
MELAKA BERI INSENTIF KEPADA 1,300 PENIAGA TERJEJAS RIBUT
AYER KEROH 30 Jun – Prihatin dengan nasib peniaga yang terkesan akibat ribut yang melanda baru-baru ini, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersetuju memberikan insentif khas.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, insentif itu berupa pengecualian bayaran lesen perniagaan selama tiga bulan kepada semua peniaga kecil, di mana ia akan dilaksanakan semasa proses pembaharuan lesen MBMB.
Menurut beliau, insentif itu memberi manfaat kepada lebih 1,300 peniaga kecil di bawah seliaan 10 penganjur di sekitar Bandaraya Melaka.
“Antara yang menerima manfaat adalah 500 peniaga di Jonker Walk; Uptown Klebang Walk (280 peniaga); Uptown Pahlawan Walk (195 peniaga); Medan Samudera (80 peniaga) dan Floating Market (80 peniaga).
“Selain itu ia turut membabitkan 80 peniaga Vintage Night Market; Uptown Tun Teja (50 peniaga); Harbour Street Market (50 peniaga); Tun Mamat Kampung Morten (40 peniaga) dan Taman Bunga Merdeka (30 peniaga),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap kesusahan yang dialami para peniaga dan berharap insetif tersebut dapat meringankan beban kewangan serta membantu memulihkan semula operasi perniagaan yang terkesan.
“Dalam semangat solidariti, Kerajaan Negeri turut menyeru semua penganjur terlibat agar mempertimbangkan pemberian insentif tambahan di peringkat masing-masing, seperti pengurangan sewa tapak selama sebulan atau apa-apa bentuk bantuan yang bersesuaian.
“Kita bersama tatkala susah dan senang. Inilah Melaka yang cakna dan sentiasa mendahulukan rakyat,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.