Sorting by

×

JKKN SANTUNI MASYARAKAT MENERUSI PROGRAM MERAKYATKAN SENI BUDAYA @KOMUNITI

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 1 Julai – Kampung Bukit Larang, Telok Mas dan Ayer Molek, menjadi dua kampung di negeri ini yang terpilih bagi penganjuran program Merakyatkan Seni Budaya @Komuniti.

Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka, Ezlina Elias berkata, pelaksanaan inisiatif itu bertujuan untuk mendekatkan seni dan budaya kepada rakyat.

Katanya, penganjuran program seumpama itu akan memberi peluang kepada masyarakat pelbagai lapisan masyarakat melibatkan diri dengan aktiviti seni dan budaya secara langsung.

Jelasnya, penganjuran di Kampung Bukit Larang, sudah selesai dan berjaya direalisasikan pada minggu lalu, sementara itu lokasi seterusnya dijadualkan di Ayer Molek bulan ini.

“Seperti sambutan di Telok Mas kita memilih sebuah inap desa yang masih mengekalkan ciri-ciri rumah tradisional sebagai lokasi penganjuran dan kita sedang mengenal pasti tapak yang sesuai.

“Selain mengadakan persembahan kebudayaan seperti tarian tradisional dan dondang sayang kita turut menyantuni masyarakat setempat menerusi program ziarah kasih serta gotong-royong.

“Pengisian program untuk kedua-dua penganjuran hampir sama malah di Ayer Molek nanti kita akan membaik pulih gelanggang gasing di kampung itu bagi mempopularkan semula permainan tradisional tersebut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Ezlina, pengisian program pula disusun dengan teliti agar melibatkan segenap lapisan masyarakat tanpa mengira usia, sekali gus meningkatkan lagi jumlah penyertaan.

“Menerusi program ini juga ia secara tidak langsung dapat menghidupkan semula elemen tradisional yang hampir dilupakan.

“Seperti di Telok Mas, baru-baru ini kita berjaya mengumpulkan kira-kira 300 orang dan diharap untuk penganjuran kedua di Ayer Molek angka itu akan bertambah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3603
Kongsi :
Previous post MBMB SAMBUT BAIK SARANAN KETUA MENTERI JAGA KEBAJIKAN PENJAJA, PENIAGA KECIL