Sorting by

×

WRUR BEMBAN: CMI, KMB BERSAMA KOMUNITI GOTONG-ROYONG INDAHKAN SURAU

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BEMBAN 2 Julai – Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) dan Kumpulan Melaka Berhad (KMB) bersama kira-kira 40 penduduk bergotong-royong membersih dan menceriakan Surau Al-Hidayah, Kampung Kemengkang, di sini, hari ini.

Inisiatif itu dianjurkan bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban yang sedang berlangsung sehingga 5 Julai.

Pengerusi Surau Al-Hidayah, Saleh Bentong memuji inisiatif yang dianjurkan itu kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada surau berkenaan, bahkan turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti kampung.

Ujarnya, antara aktiviti yang dilakukan adalah membersihkan ruang solat dan persekitaran serta mengecat dinding surau.

“Selain itu, jalan di sekeliling surau turut akan diturap semula manakala karpet, langsir dan kipas yang rosak akan diganti dengan yang baharu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Whatsapp image 2025 07 02 at 14.56.28
SURAU Al-Hidayah Kampung Kemengkang bakal berwajah baharu sempena WRUR Bemban.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir CMI merangkap Penyelaras Program, Nazry Mohd berkata, surau berkenaan dipilih memandangkan ia aktif menganjurkan pelbagai aktiviti dan program untuk menyuburkan syiar Islam.

“Surau ini aktif menganjurkan program ceramah setiap minggu dan sentiasa mendapat sambutan yang baik daripada penduduk setempat serta luar, meskipun keadaan luarannya tampak sedikit daif.

“Saya berharap program yang dianjurkan ini dapat memberi kesedaran kepada komuniti di kawasan ini dan seluruh negeri supaya lebih cakna dalam bersama-sama menjaga rumah ibadat demi keselesaan semua,” jelasnya.

Menurutnya, aktiviti gotong-royong tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Surau Al-Hidayah itu berlangsung selama dua hari, bermula hari ini sehingga esok.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

639
Kongsi :
Previous post INANG-INANG: CITA RASA WARISAN MELAKA YANG KIAN DILUPAKAN
Next post ‘CONTENT CREATOR’ PERLU ADA ILMU, BUKAN SEKADAR KEJAR POPULARITI