Sorting by

×

FELDA TUN GHAFAR HUTAN PERCHA SEMAKIN TERSOHOR, JADI TUMPUAN PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

MACHAP JAYA 4 Julai – Siapa sangka, kesepakatan penduduk kampung mengindahkan landskap dengan olahan bahan kitar semula secara kreatif, mesra alam dan sentuhan nilai estetika mengangkat nama Kampung Felda Tun Ghafar Hutan Percha tersohor di seluruh negara.

Ia selepas kampung berkenaan diumum sebagai johan Landskap Terbaik Negara Peringkat Kebangsaan 2025 bagi kategori Kampung Tradisional pada Sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Tun Ghafar Hutan Percha, Nizam Baharom berkata, kemenangan itu adalah hasil kerjasama seluruh penduduk kampung yang menjadikan gotong-royong sebagai amalan dalam mengindahkan kawasan persekitaran.

Img 20250704 wa0031
MENGGUNAKAN bahan kitar semula untuk mengindahkan kampung.

Jelasnya, sudah menjadi rutin pada setiap hari penduduk kampung itu sentiasa memastikan setiap landskap yang dihias masih elok dan kukuh, selain sentiasa menambah baik keceriaan dan kebersihan di seluruh kawasan itu.

“Setiap dari apa yang dihias, dibina di kampung ini memang hasil kerja penduduk, tiada satu pun kami menggunakan khidmat kontraktor, jadi apabila diumum sebagai pemenang, kami sangat bersyukur dan hasil kerja keras kami selama ini berbaloi.

“Apatah lagi, kampung ini sudah menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara, di mana sejak Januari sehingga Jun lalu lebih 400 pelancong domestik dan 66 pelancong asing telah berkunjung ke sini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20250704 wa0033
ANTARA keunikan lanskap yang dibangunkan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.

Mengulas lanjut, Nizam berkata, setakat ini terdapat lebih enam laman yang mempunyai landskap menarik telah dibangunkan untuk disajikan kepada pengunjung dan pelancong yang datang ke Felda Tun Ghafar Hutan Percha.

“Di sini kita ada Laman Muafakat; Laman Kasih Sayang; Laman Nostalgia; Puncak Damai dan Hutan Bukit Percha serta beberapa laman lain yang dibuat landskap dan sesuai untuk pengunjung bergambar meninggalkan memori manis.

“Selain pengunjung domestik, ramai pelancong luar antaranya dari Singapura, Indonesia, Filipina, Amerika Syarikat dan Vietnam berkunjung ke kampung ini dan menyatakan keterujaan mereka melihat keharmonian dan kreativiti penduduk kampung,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7910
Kongsi :
Previous post MELAKA DIDIK KOMUNITI CAKNA CEGAH KEBAKARAN
Next post MYKIOSK DUYONG ‘HIDUP’, WAJAR JADI CONTOH