Sorting by

×

WRUR BANTU RANCAKKAN PEMBANGUNAN DUN BEMBAN

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BEMBAN 5 Julai – Penambahbaikan kemudahan awam, perumahan, pendidikan dan mengatasi isu banjir antara kejayaan dicapai bagi penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.

Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif bermanfaat sepanjang dua minggu WRUR berlangsung menjadi bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa rakyat di pelbagai peringkat.

“Bemban adalah mempunyai 38,700 orang penduduk DUN Bemban memiliki kemudahan asas yang lengkap, termasuk hospital, klinik kerajaan, balai polis, masjid, surau dan 22 buah sekolah.

“WRUR ini disusun rapi lebih sebulan lebih awal dan melibatkan pelbagai program seperti kesihatan, ceramah agama, pertandingan sukan, program tanggungjawab sosial (CSR) dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Bemban yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jasin Lalang, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital merangkap Penyelaras WRUR, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; serta barisan Exco, Timbalan Exco dan pegawai kanan Kerajaan Negeri.

Menurut Mohd Raziff, antara projek pembangunan utama atau berimpak dilaksanakan termasuk pembinaan Taman Rekreasi Kesang Damai dan pembukaan jalan dari Simpang Jalan Serkam-Bemban ke Simpang Jalan Kandang di Kampung Bukit Kajang.

“Ini membuktikan kesungguhan kita bukan sahaja daripada aspek kebajikan, tetapi juga dalam memastikan infrastruktur dan kemudahan awam terus dimajukan demi manfaat rakyat.

“DUN Bemban kini semakin dikenali sebagai kawasan yang maju dan aktif hasil kerjasama erat antara pimpinan tempatan dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

383
Kongsi :
Previous post RM1 JUTA ATASI BANJIR LUBOK KASAU – KM
Next post KAMPUNG DIGITAL: JANGAN BERLENGAH TUKAR ALAMAT KAD PENGENALAN