Sorting by

×

EMPAT RUMAH DI DUYONG TERIMA MANFAAT ‘BANDARAYA PENYAYANG’ MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

DUYONG 15 Julai – Sebanyak empat buah rumah di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong bakal menerima manfaat baik pulih dan bina baharu menerusi Program Bandaraya Penyayang anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, program itu dibawakan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang berlangsung selama dua minggu bermula Ahad lalu.

Jelas beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga buah rumah bakal dibaik pulih manakala sebuah lagi akan dibina baharu.

“Bantuan ini adalah merupakan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri dan MBMB dalam membantu rakyat kurang berkemampuan yang mendiami rumah yang uzur serta memerlukan pembaikan segera.

“Selain baik pulih dan bina baharu, MBMB turut bergotong-royong membantu dalam membersihkan persekitaran rumah, di samping turut menyampaikan sumbangan wang tunai, kit makanan, peralatan elektrik dan barangan kelengkapan rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyantuni penerima manfaat Program Bandaraya Penyayang MBMB di Semabok, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.

Sementara itu, Mohd Noor Helmy berterima kasih kepada pihak MBMB kerana menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap nasib rakyat, khususnya di kawasan Duyong.

Beliau turut berharap agar program seumpamanya dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan memandangkan masih ramai penduduk yang memerlukan bantuan pembaikan rumah tetapi gagal disebabkan isu dokumentasi tanah.

“Dengan pendekatan seperti ini, kita yakin lebih ramai keluarga dapat dibantu dan lebih banyak rumah dapat dibaiki, di mana rakyat sudah pasti dapat benar-benar merasai bantuan yang disediakan kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

622
Kongsi :
Previous post BOM LAMA DITEMUI DI KEBUN SAWIT FELDA BUKIT SENGGEH
Next post PENDUDUK KAMPUNG SIMPANG SEMABOK PUJI INISIATIF KAMPUNG DIGITAL