
PBT SUDAH SEDIA JADIKAN MELAKA TUAN RUMAH TERBAIK WTD, WTC 2025
PAYA RUMPUT 11 September – Kesemua empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini sudah bersedia menyambut kedatangan lebih 3,000 delegasi dari seluruh dunia sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada 27 hingga 29 September ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, segala persiapan di bawah portfolio Kerajaan Tempatan kini di peringkat akhir sebelum tibanya tarikh keramat yang akan mencipta satu lagi sejarah baharu buat Negeri Melaka itu.
“Apa yang boleh saya katakan adalah persiapan semua PBT nampak semakin cantik untuk menyambut tetamu dari seluruh dunia yang akan tiba di Melaka tidak lama lagi.
“Segalanya sudah hampir lengkap, cuma tinggal beberapa perkara kecil perlu ditambah baik untuk memastikan Melaka menjadi tuan rumah yang terbaik dalam acara pelancongan dunia itu nanti.
“Saya percaya WTD dan WTC 2025 bukan sahaja membuka dimensi baharu terhadap sektor pelancongan Melaka, bahkan ia juga dapat memberi limpahan ekonomi kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Doa Kesyukuran DUN Paya Rumput sempena Maulidur Rasul dan penyerahan sumbangan cek berjumlah RM50,000 kepada Masjid Cina, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Rais memaklumkan, PBT bersama pihak berkuasa terlibat kini sedang dalam fasa akhir memperhalusi perubahan laluan dan penutupan jalan sempena WTD dan WTC 2025 itu nanti.
Beliau berkata, apabila dimuktamadkan kelak, pemakluman awal akan dikeluarkan bagi membolehkan rakyat dan pelancong merancang perjalanan sepanjang acara itu berlangsung.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.