Sorting by

×

BELANJAWAN 2026 FOKUS RINGANKAN BEBAN RAKYAT, PERKUKUHKAN EKONOMI NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KOTA LAKSAMANA 27 September – Belanjawan 2026 yang sedang dirangka kerajaan perlu menekankan keseimbangan antara tuntutan ekonomi dan kebajikan rakyat, khususnya dalam usaha menangani kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan ekonomi tidak boleh hanya berpandukan teori klasik kerana ia berisiko membebankan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Jika hanya mengikut preskripsi ekonomi, hasil negara mungkin meningkat, namun beban yang ditanggung rakyat juga akan bertambah.

“Oleh itu, kerajaan memilih pendekatan yang lebih munasabah dengan membezakan kadar bayaran antara warga tempatan dan bukan warganegara.

“Langkah subsidi bersasar yang dilaksanakan pada harga petrol dan elektrik membuktikan kerajaan berjaya mengurangkan ketirisan serta menambah hasil negara tanpa menjejaskan kebajikan isi rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 Pemain Industri Pelancongan dan Pembuatan Bersama Perdana Menteri, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Anwar turut menekankan potensi besar Melaka dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor yang semakin mendapat perhatian pelabur antarabangsa.

“Eksport E&E dan semikonduktor ke Amerika Syarikat sahaja mencecah RM200 bilion, melibatkan lebih 10,000 syarikat tempatan dan 340,000 pekerja.

“Keputusan kerajaan dalam merangka dasar dan belanjawan mesti mengambil kira kepentingan besar ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik di Malaysia merupakan asas keyakinan pelabur, sekali gus membezakan negara ini daripada banyak negara lain di rantau Asia.

“Bank Dunia dan IMF turunkan unjuran global, tetapi Malaysia masih mengekalkan unjuran awal. Ini kerana kestabilan politik dan pentadbiran yang lebih aman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

541
Kongsi :
Previous post CABARAN GLOBAL JEJASKAN DAYA SAING, MALAYSIA TAMPIL MODEL PELANCONGAN MAMPAN
Next post MELAKA MOHON JAJARAN BAHARU WCE DIPERTIMBANG PADA BAJET 2026