
MELAKA PACU PELANCONGAN LESTARI, PERKASA KOMUNITI SETEMPAT
KLEBANG 27 September – Melaka terus komited memacu pelancongan lestari, memperkasa komuniti setempat dan mengukuhkan diplomasi budaya.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebagai negeri tumpuan dunia, sektor pelancongan mampu membawa limpahan manfaat kepada segenap lapisan masyarakat khususnya 1.05 juta rakyat Melaka.
Jelas beliau, tempias itu dirasai semua daripada usahawan dan peniaga kecil, kepada pengusaha hotel dan inap desa, pemain industri kreatif sehinggalah penggiat seni dan budaya tempatan.
“Di bawah sektor perkhidmatan, pelancongan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka, mencatatkan 51.4 peratus, bersamaan 25.2 bilion.
“Pada tahun lalu, Melaka menerima lebih 15 juta pelancong dengan hasil pendapatan mencecah RM12.6 bilion.
“Alhamdulillah, sehingga Ogos tahun ini, Melaka telah merekodkan kedatangan 11.06 juta pelancong dan Kerajaan Negeri yakin, sasaran 16.5 juta pelancong dengan anggaran pendapatan sebanyak RM17.97 bilion pada tahun ini pastinya akan tercapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Encore Melaka, di sini, hari ini.
Majlis perasmian itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; menteri-menteri pelancongan serta delegasi dari 159 buah negara yang hadir serta lain-lain kenamaan.
Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut menyuarakan keyakinan Melaka akan terus bersinar sebagai ikon pelancongan global, sebuah negeri yang bukan sahaja diingati dalam lipatan sejarah, tetapi terus diraikan oleh generasi kini dan akan datang.
“Melaka bukan sekadar sebuah negeri bersejarah, tetapi juga simbol kegemilangan,
inovasi dan keterangkuman pendek kata, Melaka ini walaupun negerinya kecil umpama kalau dilipat sebesar kuku, kalau dibentang sejarahnya seluas selat Melaka,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.