Sorting by

×

TAMBAH SIREN AMARAN DI ‘HOTSPOT’ BANJIR

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SUNGAI UDANG 29 September – Kerajaan Negeri dalam perancangan untuk menambah jumlah siren amaran di lokasi ‘hotspot’ banjir sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan susulan peralihan musim Monsun Timur Laut (MTL).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini sebanyak 102 lokasi dikenal pasti sebagai hotspot banjir di negeri ini, namun daripada jumlah itu cuma 14 dilengkapi sistem siren amaran.

“Susulan arahan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, saya sudah mengadakan mesyuarat untuk melakukan persediaan menghadapi MTL bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pejabat daerah.

“Sebagai makluman jumlah hotspot banjir seluruh Melaka sudah menurun hasil usaha berterusan bagi mengurangkan risiko bencana itu menerusi pelbagai inisiatif dan projek dilaksanakan. Selepas ini jumlah itu akan terus dikurangkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Rais berkata JPS bersama Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) juga aktif turun padang berjumpa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk memberi penerangan mengenai fungsi siren amaran.

Selain itu, katanya, agensi keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga digerakkan bagi membantu sekiranya berlaku bencana besar.

“Kita juga giat melaksanakan pelbagai program kesedaran masyarakat bagi memastikan penduduk memahami fungsi siren dan mengutamakan keselamatan nyawa apabila bencana berlaku,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

494
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU PATEN PERATURAN KONDA KONDI
Next post BELANJAWAN 2026: KEMBANGKAN POTENSI MELAKA SEBAGAI HAB PRODUK HALAL