Sorting by

×

WRUR: PENDUDUK KAMPUNG GANGSA BERSYUKUR MILIKI KERAJAAN PRIHATIN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DURIAN TUNGGAL 28 Oktober – Keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat dibuktikan menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) apabila penduduk setempat terus disantuni.

Malah, sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban dan perbelanjaan harian keluarga kurang bernasib baik.

Penduduk, Gayah Talib, 75, bersyukur dan sangat menghargai usaha Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat memerlukan.

Menurutnya, inisiatif Kerajaan Negeri mengadakan WRUR juga memudahkan rakyat untuk bertemu secara terus bersama pemimpin.

“Bersyukur dan berterima kasih kerana dipilih untuk menerima sumbangan, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan.

“Malah saya amat berbesar hati apabila sumbangan itu disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri dan ini membuatkan saya rasa sangat dekat dengan pemimpin negeri,” katanya.

Warga emas itu ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Balai Raya Kampung Gangsa, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Sementara itu, Zahari yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri memaklumkan pada majlis itu seramai 20 penerima asnaf dan 10 orang pelajar dari Kampung Gangsa terpilih menerima sumbangan.

“Sumbangan yang disampaikan ini diharap dapat membantu bukan sahaja ketua keluarga dalam menyiapkan keperluan harian tetapi juga pelajar.

“Menariknya juga kehadiran Ketua Menteri yang hadir meluangkan masa bertemu dan menyantuni rakyat walaupun dalam masa singkat amat menyentuh hati rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

600
Kongsi :
Previous post WRUR: SETAHUN TANPA BANJIR, PENDUDUK DURIAN TUNGGAL TARIK NAFAS LEGA
Next post PEMBAHAGI JALAN MALIM JAYA KURANGKAN RISIKO KEMALANGAN, LANCARKAN ALIRAN TRAFIK