
43 SEKOLAH MENENGAH DI MELAKA GUNA ‘METAL DETECTOR’ KESAN TELEFON BIMBIT – RAHMAD
SERI NEGERI 8 Disember – Pihak pengurusan 43 buah sekolah menengah di negeri ini menggunakan alat pengesan logam (metal detector) sebagai langkah memperkukuhkan pelaksanaan dasar larangan membawa telefon bimbit dalam kalangan pelajar.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih mengekalkan larangan membawa telefon bimbit ke sekolah seperti ditetapkan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2009 bagi memastikan tumpuan murid dan pelajar terhadap pembelajaran tidak terganggu.
Menurutnya, walaupun dasar itu jelas, pemantauan lebih berkesan diperlukan bagi membantu sekolah menangani isu penyeludupan telefon bimbit secara menyeluruh.
“Justeru, beberapa sekolah mengambil inisiatif menggunakan metal detector di pintu masuk untuk mengesan murid atau pelajar yang cuba membawa peranti tersebut.
“Daripada 80 sekolah menengah di Melaka, sebanyak 43 telah membeli dan menggunakan metal detector sebagai alat imbasan keselamatan kepada pelajar.
“Baki 37 sekolah lagi yang belum memilikinya akan saya syorkan untuk turut membeli metal detector bagi memastikan pemantauan larangan telefon bimbit dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Rahmad berkata, penggunaan alat itu menjadi langkah pencegahan bagi mengurangkan penyalahgunaan telefon seperti rakaman tanpa izin, akses kandungan tidak sesuai serta interaksi tidak sihat ketika waktu sekolah.
“Penggunaan metal detector memudahkan guru mengesan telefon bimbit dengan lebih cepat tanpa pemeriksaan fizikal sekali gus mengekang pelanggaran disiplin dan mewujudkan suasana pembelajaran lebih kondusif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


