Sorting by

×

INISIATIF DIGITAL MELAKA BERPOTENSI DIKETENGAHKAN DI PERINGKAT GLOBAL

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 12 Disember – Usaha pendigitalan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa, sekali gus meletakkan Melaka sebagai contoh pelaksanaan bandar pintar yang berimpak tinggi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pelbagai inisiatif yang dilaksanakan termasuk pendigitalan data kubur dan haiwan merupakan langkah penting dalam proses pengindeksan dan pengurusan aset fizikal secara lebih sistematik dan efisien.

Menurut beliau, ketiadaan indeks dan pengukuran yang tepat sebelum ini menyebabkan banyak sumber fizikal tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan berisiko menjadi pembaziran.

“Dengan adanya proses pengkatalogan termasuk kubur lama, penggunaan tanah dapat dioptimumkan dan diurus dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran MoU Antara Kerajaan Negeri Melaka dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, MCMC sebelum ini pernah membawa kisah pendigitalan komuniti luar bandar ke platform antarabangsa seperti International Telecommunication Union (ITU) dan pendekatan sama boleh dilaksanakan bagi mengetengahkan kisah kejayaan pendigitalan di Melaka.

“Sebelum ini di bawah MCMC di beberapa platform antarabangsa termasuk ITU, kami ada membawa usaha pembangunan Kampung Orang Asli Negeri Sembilan, di Pulau Banggi, Sabah.

“Mungkin kita boleh usahakan juga nanti untuk bawa kisah pendigitalan di seluruh negeri Melaka ke peringkat persada dunia, jadi insya-Allah kita akan usahakan selepas ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

684
Kongsi :
Previous post RM310 JUTA UNTUK BANDAR PINTAR MELAKA, FASA PERTAMA BERMULA TAHUN DEPAN