Sorting by

×

REMY ISHAK HARAP KARNIVAL MASJID TANAH: KAMPUNG KITA DIADAKAN SETIAP TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

LENDU 21 Disember – Kebersamaan dan kesepaduan masyarakat kampung yang ditunjukkan dalam penganjuran Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita menjadikannya wajar diangkat sebagai acara tahunan.

Itu pandangan artis popular Datuk Remy Ishak yang bersama-sama warga Masjid Tanah memeriahkan karnival berkenaan sejak tiga hari lalu.

Remy atau nama sebenarnya Mohamad Zalimei Ishak yang juga anak jati Ayer Limau bangga melihat sambutan luar biasa yang ditunjukkan penduduk dari lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah iaitu Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning dan Kuala Linggi.

Katanya, karnival tersebut bukan sahaja mengeratkan ‘keluarga besar’ Masjid Tanah, bahkan pada masa sama turut mengiktiraf bidang seni dan budaya menerusi beberapa pengisian menarik, antaranya Larian Etnik Budaya Masjid Tanah.

“Saya sangat gembira melihat kemeriahan di Masjid Tanah ini. Terima kasih kepada semua kerana memeriahkan seni dan budaya kita.

“Semoga acara ini akan diadakan lagi dan saya akan teruja untuk menguar-uar dan mempromosikan karnival ini termasuk membawa rakan-rakan (artis) dari Kuala Lumpur untuk bersama kita,” katanya pada karnival berkenaan.

Terdahulu, Remy turut bersama lebih 1,000 warga Masjid Tanah menyertai Larian Etnik Budaya Masjid Tanah yang telah disempurnakan pelepasannya oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau juga turut bersama orang ramai dalam pelbagai acara sukan yang diadakan, selain turut menyampaikan hadiah kepada pemenang busana terbaik kategori individu, berkumpulan dan keluarga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

419
Kongsi :
Previous post LARIAN BUDAYA ANTARABANGSA DUYONGKITA MERIAH
Next post SUKAN SATUKAN ORANG MASJID TANAH