
LARIAN BUDAYA ANTARABANGSA DUYONGKITA 2025 TAMPIL LEBIH DINAMIK
DUYONG 21 Disember – Larian Budaya Antarabangsa Duyongkita 2025 tampil lebih dinamik dengan pengukuhan elemen budaya dan peningkatan penyertaan antarabangsa.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, larian yang memasuki edisi ketiga ini juga turut mendapat penglibatan menyeluruh daripada komuniti setempat.
“Kerajaan Negeri menyokong penuh acara ini kerana ia bukan sekadar menjadi medan larian tetapi platform perpaduan yang menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang, budaya dan negara melalui semangat kesukanan serta kebersamaan.
“Program berskala besar seumpama ini memberi impak yang jauh lebih hebat berbanding acara sukan dan inilah platform yang menjadi enjin ekonomi kepada seluruh negeri Melaka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Larian Budaya Antarabangsa Duyongkita 2025 di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, hari ini.
Teks ucapan Ketua Menteri dibacakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman pada
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.
Menurut Ketua Menteri, program seumpama itu diharap diteruskan sebagai acara tahunan bagi menyemai semangat muhibah, memelihara warisan budaya dan memastikan acara tradisi terus hidup merentas generasi.
“Kejayaan demi kejayaan yang dicapai membuktikan bahawa Larian Budaya Antarabangsa Duyongkita ini bukan acara biasa-biasa malah ia berpotensi diangkat ke tahap lebih tinggi sekaligus melonjakkan Melaka sebagai destinasi tumpuan diplomasi budaya di pentas dunia.
“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Adun Duyong atas kejayaan mencetus dan menerajui sebuah aktiviti komuniti berskala besar yang benar-benar memberi impak positif kepada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


