Sorting by

×

MELAKA BUKA DIMENSI BAHARU PELANCONGAN 2026

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KLEBANG 1 Januari – Melaka bakal membuka dimensi baharu dalam sektor pelancongan sepanjang 2026 dengan memperkenal inisiatif digital berasaskan kecerdasan teknologi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu direalisaikan menerusi pengenalan aplikasi baharu yang dinamakan Smart Tourism Melaka AI.

Jelas beliau, teknologi baharu itu bakal memudahkan pelancong dan pengunjung ke Melaka untuk berinteraksi dan memasuki produk-produk pelancongan menarik yang ada di negeri ini dengan teknologi terkini.

“Saya berharap sepanjang Tahun Melawat Melaka 2.0 yang diisi dengan 220 program pelancongan ini, aplikasi yang diperkenalkan dapat memudahkan lagi pengunjung dan pelancong datang ke Melaka dalam pelbagai kaedah baharu berteraskan teknologi.

“Selain membantu pelancong, aplikasi dan inisiatif digital yang diperkenalkan ini juga dapat membantu industri pelancongan Melaka berkembang dalam satu dunia baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, di sini, malam tadi.

Majlis penuh warna-warni itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri melancarkan Tahun Melawat Melaka 2.0 bagi mengiringi sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka bakal menarik limpahan pelancong dari seluruh dunia ke negara ini.

Ujar beliau, Melaka sudah bersedia untuk menerima kebanjiran pelancong menerusi pelbagai program menarik yang telah dirangka.

“Daripada limpahan pelancong yang datang ke Malaysia, sebahagian daripadanya pasti akan menjadikan Melaka sebagai destinasi persinggahan.

“Jadi kita telah bersedia dengan pelbagai acara dan program beridentitikan Melaka untuk menarik pelancong datang dan bercuti ke negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post HELIKOPTER SUPER LYNX TLDM MENDARAT CEMAS DI PERAIRAN KLEBANG, 4 KREW SELAMAT
Next post MELAKA SERLAH NILAI TERSEMBUNYI SEKTOR PELANCONGAN