Sorting by

×

MBMB FOKUS ASPEK 3K BAGI PENGANJURAN BAZAR AIDILFITRI, RAMADAN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDARAYA MELAKA 22 Januari – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menegaskan pematuhan terhadap aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan (3K) menjadi keutamaan dalam penganjuran Bazar Ramadan serta Bazar Aidilfitri dibawah kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, meskipun penganjuran kedua-dua bazar itu sama seperti tahun sebelumnya, namun aspek 3K akan diberi perhatian secara serius.

Shadan berkata, justeru MBMB telah bersiap sedia mengatur gerak kerja termasuk mengadakan perjumpaan dengan setiap penganjur.

“Kita sudah aturkan dalam tempoh terdekat ini untuk berjumpa dengan semua penganjur dan akan memberikan taklimat berkaitan penganjuran dan garis panduan bazar yang perlu dipatuhi.

“Taklimat berkaitan 3K juga akan diberikan khususnya kepada peniaga makanan dan minuman kerana kita mahukan lokasi bazar berada dalam keadaan yang bersih dan selesa.

“Setiap peniaga makanan dan minuman perlu mengambil suntikan antitifoid selain mereka perlu pastikan kesihatan berada dalam keadaan baik serta penganjur perlu pastikan peniaga berniaga dilokasi selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran langsung di Melaka FM bersama Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus Kem Sungai Udang, Kolonel Nordin Abu, di sini, pada Selasa.

Menurut Shadan, penekanan aspek 3K ini penting dalam memastikan penganjuran bazar berjalan dalam keadaan baik tanpa berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Aspek 3K ini memang MBMB titik beratkan ia bagi memastikan sepanjang Ramadan peniaga dapat mencari rezeki dengan lebih baik.

“Tahun ini kita mempunyai 21 bazar termasuk dua Bazar Aidilfitri iaitu di Klebang dan Banda Hilir membabitkan 347 peniaga manakala terdapat 19 lokasi bagi Bazar Ramadan dengan jumlah peniaga seramai 1,600 orang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

384
Kongsi :
Previous post MELAKA TERUS SUBURKAN BUDAYA CINTAI AL-QURAN
Next post MELAKA LATIH LEBIH 900 SUKARELAWAN PARAKOM BERSEDIA HADAPI KES KECEMASAN