
MELAKA LATIH LEBIH 900 SUKARELAWAN PARAKOM BERSEDIA HADAPI KES KECEMASAN
BANDA HILIR 22 Januari – Lebih 900 sukarelawan Paramedik Komuniti (PARAKOM) menyertai pelbagai pelbagai kursus latihan dan tugasan lapangan sepanjang tahun 2024 dan 2025.
Pegawai Operasi PARAKOM Saiful Nizam Sairi berkata, langkah itu adalah antara usaha dilakukan bagi memperkasa aspek kesihatan awam khususnya membabitkan kes-kes kecemasan luar jangka di kampung-kampung, mahupun lokasi tumpuan pelancong.
Katanya, usaha berterusan melatih sukarelawan itu juga secara tidak langsung berupaya memberi sokongan dan mengurangkan beban petugas kesihatan di negeri ini.
“Pendekatan ini dilihat mampu memberi nilai tambah kepada sukarelawan PARAKOM khususnya dalam program-program berskala besar anjuran Kerajaan Negeri atau operasi lapangan.
“Mengikut rekod statistik, pada 2024, seramai 472 peserta mengikuti Kursus PARAKOM Tahap Satu, melibatkan 271 lelaki dan 201 perempuan, manakala 92 peserta pula menyertai kursus Tahap Dua dengan penyertaan 57 lelaki dan 35 perempuan.
“Pada lalu, seramai 284 peserta direkodkan mengikuti Tahap Satu dengan penyertaan perempuan lebih tinggi iaitu 164 orang berbanding 120 lelaki dan 73 peserta menyertai Kursus PARAKOM Tahap Dua terdiri daripada 38 lelaki dan 35 perempuan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Saiful Nizam memaklumkan, sukarelawan PARAKOM turut dihantar menyertai kursus berkaitan di luar Negeri Melaka.
“Seramai 35 sukarelawan PARAKOM turut mengikuti Kursus Asas Perawatan Kecemasan Komuniti anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melibatkan 17 lelaki dan 18 perempuan.
“Perkara ini sekali gus mencerminkan keseimbangan penglibatan jantina dalam latihan kecemasan komuniti.
“Dalam aspek operasi lapangan pula, PARAKOM telah terlibat dalam 76 tugasan ‘medical standby’ sepanjang 2025, dengan keseluruhan 424 kes menerima rawatan melibatkan kecederaan ringan hingga kecemasan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


