
SARAPAN PAGI PERCUMA TANDA KASIH UTEM, BERI SEMANGAT ‘TUAH TEJA’ DUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR
DURIAN TUNGGAL 26 Januari – Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meneruskan komitmen terhadap kebajikan pelajar menerusi penganjuran Program Bitara Kasih TUAH TEJA yang menyediakan sarapan pagi percuma kepada pelajar.
Program itu diadakan sepanjang tempoh peperiksaan akhir penuntut UTeM bagi memastikan kesiapsiagaan fizikal dan mental mereka.
Program yang telah dilaksanakan sejak tahun 2023 itu bertujuan membantu pelajar membuat persiapan awal dengan lebih tenang sebelum memasuki dewan peperiksaan, selain meringankan beban pelajar serta memastikan mereka memperoleh nutrisi yang baik melalui sarapan yang disediakan.
Sebagai permulaan, sarapan percuma itu disediakan kepada hampir 17,000 pelajar di mana akan diagihkan kepada 1,200 pelajar terawal yang hadir setiap hari di lokasi peperiksaan sepanjang minggu peperiksaan akhir berlangsung di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal serta Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, antara objektif utama program itu adalah menggalakkan pelajar hadir lebih awal ke lokasi peperiksaan khususnya bagi sesi peperiksaan waktu pagi, di samping meningkatkan tahap keselesaan, motivasi dan kesejahteraan pelajar agar dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam usaha mencapai kecemerlangan akademik.
Jelas beliau, penganjuran program itu juga sejajar dengan komitmen UTeM terhadap Agenda Pembangunan Mampan (SDG) yang diterapkan dalam pelaksanaan aktiviti universiti.
“Ini termasuklah SDG 1: Tiada Kemiskinan, SDG 2: Kelaparan Sifar dan SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan Yang Baik, sekali gus menyumbang kepada SDG 4: Pendidikan Berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif memaklumkan bahawa program itu juga menterjemahkan hasrat Pelan Strategik UTeM menerusi Teras Strategik 3, iaitu Menjuarai Khidmat Seni, Mengundang Kesejahteraan.
“Bagi memastikan kelangsungan dan keberkesanan Program Bitara Kasih TUAH TEJA, pihak HEPA akan membuka permohonan tajaan dalam bentuk sumbangan kewangan (monetari) dan sumbangan barangan (in-kind) daripada agensi kerajaan, sektor swasta, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang berminat untuk bersama-sama menyokong kebajikan pelajar UTeM.
UTeM turut mengalu-alukan sokongan semua pihak bagi menjayakan inisiatif ini sebagai manifestasi keprihaitinan bersama terhadap kesejahteraan dan kejayaan pelajar universiti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


