Sorting by

×

PRN MELAKA DIJANGKA DALAM TEMPOH DUA HINGGA 10 BULAN – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

TELOK MAS 24 Januari – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkemungkinan diadakan dalam tempoh dua hingga 10 bulan akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan perkembangan politik semasa serta keperluan untuk memastikan kesiapsiagaan dalam mempertahankan kejayaan yang telah dicapai sebelum ini.

Menurut beliau, Melaka perlu diberi tumpuan awal memandangkan negeri itu pernah mencatatkan prestasi cemerlang apabila Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN lalu.

“Saya ingatkan rakan-rakan di Melaka, tugas kita sekarang adalah untuk mempertahankan kejayaan kerana saya tidak mahu kesukaran ini melebihi kesukaran yang pernah kita hadapi dalam PRN lalu.

“Bagi saya, prestasi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf adalah terbaik kerana beberapa inisiatif telah diambil untuk memajukan Negeri Melaka, bukan sekadar dalam bidang pelancongan, tetapi juga industri, infrastruktur serta membawa pelabur dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri bersama Warga DUN Telok Mas di Masjid Al- Falihin, Alai di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Turut hadir, Timbalan Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri, Datuk Zaidi Attan dan Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin dan wakil rakyat di Melaka supaya memberi perhatian kepada tiga perkara utama, iaitu menjaga perbuatan, tutur kata dan reaksi terhadap maklumat yang diterima.

“Pesanan saya, jangan panas setahun, hujan sehari. Jangan sekali-kali melakukan kesilapan. Lazimnya orang melihat dari segi lahiriah dan fizikal, mereka menghargai tetapi jangan mengharap sokongan itu kekal jika berlaku kesilapan. Ingat, di Melaka pun akan ada tangan-tangan lain. Ini mesti kita jaga,” katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya pemimpin politik sentiasa berhati-hati dalam percakapan agar tidak menyinggung perasaan rakyat.

“Kedua, kita mesti jaga mulut. Dalam dada kita mungkin ada ‘rimau’, tetapi bila keluar, biarlah jadi ‘kambing’, jangan keluarkan harimau itu, kerana ia boleh menyinggung perasaan dan menimbulkan masalah.

“Ketiga, kita mesti jaga telinga. Jangan terlalu nipis telinga. Dengarlah, tapis dan fikirkan dahulu. Jangan terus bertindak balas tanpa memikirkan akibat jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

407
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU WUJUDKAN BANDAR LESTARI, MANFAAT TEKNOLOGI ‘LID’ KURANGKAN RISIKO BANJIR KILAT
Next post PERINCIAN KONSEP ‘RUMAH BANGSA’ HADAPI PRN MELAKA MASIH DALAM PERBINCANGAN