
SUMBANGAN BAKUL RAHMAH BAWA SINAR KEBAHAGIAAN BUAT IBU TUNGGAL, SURI RUMAH
GADEK 26 Januari – Karnival Agihan Bakul Rahmah anjuran Persatuan Solidariti Nasional (PERSONA) Daerah Alor Gajah berjaya membawa sinar kegembiraan kepada rakyat.
Seorang ibu tunggal di Kampung Kemuning, Alor Gajah, Siti Nortasa Halun, 41, berkata, dia bersyukur dan gembira atas bantuan yang diberi kerana bukan sahaja meringankan beban dirinya, malah turut membantu keperluan dua orang anaknya.
“Saya rasa seronok sangat dan alhamdulillah. Bantuan ini sangat membantu meringankan beban saya dan kedua-dua anak yatim saya,” katanya sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari dan pihak PERSONA.
Dia berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Karnival Agihan Bakul Rahmah dan Jualan Ramah yang dirasmikan Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari di Padang Permainan Taman Padang Sebang Gemilang, Alor Gajah, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, Datuk VP Shanmugam; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Tambahnya, bantuan tersebut wajar diteruskan kerana masih ramai golongan memerlukan yang bergantung kepada sokongan seumpama itu untuk meneruskan kehidupan.

Sementara itu, seorang suri rumah, Zabidah Binti Mohd Tahir, 58, yang menetap di Taman Sebang Gemilang, menyifatkan pengagihan bakul rahmah sebagai satu misi yang baik dalam membantu rakyat.
“Alhamdulillah, bantuan asas seperti beras, minyak serta telur ini memang sangat bermanfaat buat kami sekeluarga dan sedikit sebanyak menjimatkan perbelanjaan harian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


