Sorting by

×

MAIM UCAP TERIMA KASIH TPM CAKNA ANAK YATIM MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BUKIT KATIL 24 Januari – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di atas keprihatinan beliau terhadap kebajikan anak-anak yatim di negeri ini.

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, ucapan terima kasih itu diberikan berikutan kesudian pemimpin negara itu memilih Kompleks Anak Yatim/ Miskin Fatimah Al- Zaharah (KAYFAZ) sebagai salah satu lokasi program lawatan kerja ke negeri ini.

Katanya, perhatian yang diberikan Timbalan Perdana Menteri menerusi pelbagai program santunan anak yatim di negeri ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kebajikan golongan memerlukan, khususnya anak-anak yatim, sentiasa terpelihara.

“Keprihatinan ini bukan sahaja menyuntik semangat kepada anak-anak yatim, malah turut memberi motivasi kepada pihak pengurusan KAYFAZ untuk terus memperkasa program pembangunan sahsiah serta kesejahteraan golongan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi Bersama Penghuni Kompleks Anak Yatim/ Miskin Fatimah Al- Zaharah (KAYFAZ), di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin dan Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata, MAIM akan terus komited memastikan kebajikan anak-anak yatim serta golongan asnaf negeri ini sentiasa menjadi agenda utama.

“MAIM amat menghargai sokongan dan perhatian Timbalan Perdana Menteri yang sentiasa cakna terhadap keperluan anak-anak yatim di Melaka, terutamanya dalam aspek kebajikan, pendidikan dan pembangunan masa depan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

333
Kongsi :
Previous post SARAPAN PAGI PERCUMA TANDA KASIH UTEM, BERI SEMANGAT ‘TUAH TEJA’ DUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR
Next post AGIHAN BAKUL RAHMAH PERSONA RINGANKAN BEBAN RAKYAT ALOR GAJAH