Sorting by

×

MPAG JIMAT KOS ELEKTRIK 51 PERATUS SEBULAN MELALUI TENAGA SOLAR

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

ALOR GAJAH 25 Januari – Bangunan pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) berjaya merekodkan penjimatan kos elektrik sehingga 51 peratus sebulan.

Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, hasil itu diperoleh menerusi penjanaan tenaga solar sebanyak 136,133.78 kilowatt-jam (kWh) sepanjang 12 bulan pertama pelaksanaan Projek Pemasangan Sistem Solar Fotovolta (PV) berkapasiti 100 kilowatt (kW).

“Kita melaksanakan projek ini di bangunan pentadbiran MPAG sebagai langkah strategik meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan kos operasi serta menyokong agenda pembangunan mampan dan rendah karbon.

“Pelaksanaan projek ini berjaya menjana penjimatan tenaga yang signifikan dengan jumlah penjimatan dianggarkan sebanyak 210,674 kWh setahun, sekali gus menyumbang kepada penurunan bil elektrik bulanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, inisiatif tersebut turut memberi impak positif terhadap alam sekitar apabila berjaya mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 139.9 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setahun.

“Pengurangan ini bersamaan dengan penanaman kira-kira 6,650 pokok atau mengurangkan penggunaan sehingga 30 kenderaan di jalan raya.

“Projek ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Global Environment Facility (GEF-6), Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) serta Tenaga Nasional Research (TNBR),” katanya.

TPr. Saifuddin berharap inisiatif itu dapat menjadi contoh dan model kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di seluruh negara dalam usaha memperluas penggunaan tenaga bersih.

“MPAG komited untuk terus menyokong dan memperkasa penggunaan tenaga boleh baharu demi kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

698
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU MAHASISWA JADI ‘MATA DAN TELINGA’ AADK
Next post MELAKA ANGKAT KEHEBATAN TENTERA, MEDAN SEMAI SEMANGAT PATRIOTIK