Sorting by

×

MELAKA PERKASA AL-QURAN SEBAGAI TERAS PEMBINAAN INSAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

PENGKALAN BATU 25 Januari – Kerajaan Negeri terus komited memperkasa penghayatan Al-Quran sebagai teras pembinaan insan dan kekuatan ummah menerusi pelbagai program berterusan di peringkat negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kekuatan umat Islam masa kini tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan kemajuan fizikal atau pembangunan material, sebaliknya bermula dengan pembinaan insan yang menjadikan Al-Quran sebagai pedoman dalam setiap aspek kehidupan.

Katanya, era globalisasi dan ledakan teknologi menyaksikan cabaran nilai, pemikiran serta struktur sosial yang semakin kompleks dan al-Quran berperanan sebagai panduan menyeluruh.

“Kerajaan Negeri berharap agar program-program berkaitan al-Quran yang dianjurkan tidak bersifat bermusim atau simbolik, sebaliknya menjadi medium berkesan untuk memperkukuh perpaduan, menyemai nilai ihsan serta menghidupkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Tahun 1447H/2026 di Auditorium Al-Azim, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Majlis berprestij itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang turut menyampaikan hadiah kemenangan kepada para peserta, sekali gus merasmikan majlis tersebut.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samad serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf menyeru seluruh warga Melaka agar terus menyokong dan mendukung setiap inisiatif yang dianjurkan bagi memastikan budaya hidup berteraskan Al-Quran dapat terus diperkasa dan diwarisi oleh generasi akan datang.

“Kerajaan Negeri yakin pembangunan fizikal yang seiring dengan pembinaan rohani rakyat akan memastikan Melaka terus makmur dan dilimpahi keberkatan.

“Sekali gus merealisasikan aspirasi sebuah negeri ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur’ yang sejahtera serta sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

599
Kongsi :
Previous post TYT SEMPURNAKAN PENUTUP TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN MELAKA 1447H/2026
Next post MELAKA KONSISTEN LAHIRKAN QARI, QARIAH, HAFIZ DAN HAFIZAH BERWIBAWA