Sorting by

×

50 PEGAWAI DAN ANGGOTA DIANUGERAHKAN BERET HIJAU, BERJAYA TAMAT KURSUS ASAS KOMANDO

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KLEBANG 25 Januari – Seramai 50 perajurit berjaya menamatkan Kursus Asas Komando Siri AK/3/25 dan menyarung ‘Beret Hijau’ sebagai simbol kehormatan Rejimen Gerak Khas (RGK) di sini hari ini.

Panglima 21 Gerup Gerak Khas Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab berkata, jumlah itu yang berjaya daripada 203 peserta pada awalnya yang menyertai kursus tersebut.

Katanya, kesemua perajurit itu telah melalui latihan fizikal dan mental berintensiti tinggi selama 12 minggu.

“Daripada 18 pegawai dan 185 anggota lain-lain pangkat yang melapor diri, hanya 8 pegawai serta 42 anggota berjaya menamatkan kursus berkenaan dengan kadar kelulusan 24.6 peratus, menjadikan kejayaan tersebut bukti ketahanan luar biasa serta semangat juang yang tidak mudah goyah.

“Kejayaan menamatkan Kursus Asas Komando disifatkan bukan sekadar pencapaian latihan ketenteraan, malah proses pembentukan jati diri perajurit yang menuntut disiplin tinggi, pengorbanan serta kesetiaan mutlak kepada pasukan dan negara.

“Graduan kursus kini layak menyarung Beret Hijau, Lanyard Biru dan Pisau Komando yang menjadi lambang identiti serta amanah Rejimen Gerak Khas, selain membawa tanggungjawab besar dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Upacara Penutup Kursus Asas Komando Siri AK3/2025 di Persiaran Encore Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Staf 21 GGK Brigedier Jeneral Mohd Musyadi Abdul Mutalib; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Shuhaimi berkata majlis upacara penutup kursus itu diadakan bersekali dengan Karnival Tentera Bersama Rakyat sekali gus mencerminkan hubungan erat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan orang awam serta menyemarakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2026.

Jelasnya, penganjuran terbuka berkenaan memberi peluang kepada orang ramai melihat secara dekat peranan dan jati diri perajurit negara.

“Penganjuran majlis upacara ini kita mahu menonjolkan ATM sebagai sebuah angkatan yang profesional, berwibawa dan bersifat defensif selaras dengan Dasar Pertahanan Negara ‘Friend to All, Enemy to None’.

“Majlis ini turut memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai dunia ketenteraan, sekali gus menyemai semangat patriotisme dan kesedaran tentang peranan Angkatan Tentera Malaysia sebagai benteng keselamatan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

657
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA DEKATKAN UNIT BERUNIFORM DENGAN RAKYAT
Next post TIADA AKTIVITI BIDA TAPAK BAZAR RAMADAN DI MELAKA