
AL-QURAN JADI SEBAHAGIAN HIDUP MOHAMMAD NAFI’
BUKIT PALAH 26 Januari – Usaha dan kesungguhan membuahkan hasil buat Mohammad Nafi’ Mohammad Nor, 32, yang dinobatkan sebagai johan Qari Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Negeri Melaka 1447H/2026.
Mohammad Nafi’ muncul juara selepas menerima markah tertinggi sebanyak 92 peratus, daripada barisan hakim sekali gus membawa pulang wang tunai RM8,000, sijil, hadiah iringan beserta pakej umrah yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Auditorium Al-Azim di sini, pada Sabtu.
Bagi anak jati Peringgit itu, kemenangannya disyukuri sepenuh hati selepas tidak menyangka Allah SWT mengurniakan kejayaan itu ketika beliau kembali menyertai tilawah buat kali keenam sejak mula bertanding pada 2014.
“Lebih daripada kemenangan, kejayaan ini menjadi dorongan untuk saya terus mengimarahkan dan memeriahkan majlis tilawah Al-Quran.
“Ia juga satu rezeki yang Allah berikan di luar jangkaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Nafi’ berkata, tilawah Al-Quran bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak kecil apabila mula mempelajari dan menyertai tilawah sejak darjah dua.
“Pada awalnya ia menjadi rutin tahunan ketika kami belajar mengaji, namun hakikatnya tilawah ini lebih kepada menguji kekuatan diri, disiplin dan keikhlasan dalam mendalami Al-Quran,” ujarnya.
Mengulas perancangan selepas kemenangan tersebut dan bakal mewakili Melaka ke peringkat Kebangsaan, Mohammad Nafi’ berkata beliau berazam untuk meningkatkan kualiti bacaan dengan lebih kerap berguru dan memperbanyakkan latihan.
“Ilmu taranum ini tidak boleh dipelajari melalui buku dan perlu berguru. Selain itu sebagai qari kita kena sentiasa memperbaharui niat agar ilmu ini terus hidup dan berkembang,” katanya yang mengusahakan perniagaan sendiri sebagai pengarah sebuah agensi pelancongan.
Beliau turut menyifatkan penganjuran MTHQ sebagai platform penting dalam menggalakkan penghayatan Al-Quran serta menghidupkan ilmu taranum dalam kalangan masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


