Sorting by

×

MELAKA SASAR 1,000 WANITA JALANI SARINGAN KANSER SERVIKS

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TABOH NANING 26 Januari – Rasa takut dan malu menjadi antara faktor utama yang menyebabkan ramai wanita tidak mahu menjalani pemeriksaan kanser serviks, sekali gus menjejaskan usaha pengesanan awal penyakit berkenaan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, kaedah pemeriksaan tradisional sebelum ini menimbulkan kekangan dan rasa tidak selesa kepada wanita, namun Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka kini menyediakan cara yang lebih mudah dan cepat.

“Kini, dengan Kit Ujian HPV DNA, wanita boleh mengambil sampel sendiri di rumah dan memperoleh keputusan dalam tempoh dua minggu.

“Selain hadir ke klinik Nur Sejahtera LPPKN, perkhidmatan ujian ini akan dibawa ke kampung-kampung orang asli serta kawasan luar bandar melalui klinik bergerak. Kami turut menyediakan kupon percuma untuk menjalani ujian ini, menjadikannya lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Melaka di Dewan Terbuka Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pengarah LPPKN Negeri, Suszma Khairitszi Mamat; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Kalsom memaklumkan, pada tahun ini, LPPKN menyasarkan 1,000 wanita untuk menjalani saringan kanser serviks, sekali gus meningkatkan kesedaran penyakit itu di Melaka.

Tambah beliau, LPPKN juga melantik duta etnik dari kaum Orang Asli dan India bagi menyampaikan maklumat berkaitan kanser serviks serta mempromosikan kepentingan saringan awal dalam kalangan komuniti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

652
Kongsi :
Previous post KEHADIRAN TPM SUNTIK SEMANGAT PENGHUNI KAYFAZ
Next post GURU KAFA JAIM JOHAN QARIAH MTHQ 1447H/2026