Sorting by

×

WCARE TINGKAT KESEDARAN KANSER SERVIKS, PAYUDARA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TABOH NANING 26 Januari – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) terus mempergiat Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) bagi meningkatkan tahap kesedaran kesihatan semua pihak, khususnya wanita.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, kempen itu bertujuan menggalakkan wanita menjalani saringan awal bagi mengesan kanser serviks dan kanser payudara.

“Kempen WCaRe ini merangkumi program saringan kanser serviks melalui ujian saringan virus papiloma manusia (HPV) DNA dan program subsidi ujian mamogram bagi saringan kanser payudara untuk mereka yang layak dalam kumpulan B40 dan M40.

“Selain melaksanakan advokasi dan memberi kesedaran kepada masyarakat, LPPKN turut menyediakan fasiliti serta kepakaran untuk menjalankan ujian HPV DNA bagi mengesan kanser serviks dan menawarkan subsidi ujian mamogram bagi pengesanan awal kanser payudara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercucap di Program Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Melaka di Dewan Terbuka Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pengarah LPPKN Negeri, Suszma Khairitszi Mamat; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Kalsom memaklumkan, kempen berkenaan akan dilaksanakan di seluruh negara melalui 50 buah Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN dan diteruskan sepanjang tahun 2026.

Tambahnya, perkhidmatan saringan itu juga boleh dilaksanakan secara outreach menerusi Pusat Keluarga Bergerak LPPKN bagi memastikan lebih ramai wanita mendapat akses kepada perkhidmatan saringan kesihatan.

“Penganjuran Kempen WCaRe ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan sebagai sokongan kepada usaha bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencapai sasaran matlamat global, iaitu sifar insiden kanser serviks menjelang tahun 2070,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

336
Kongsi :
Previous post ‘SEKOLAH PONDOK’ MODEN MELAKA
Next post HOSPITAL ANGKATAN TENTERA KEM TERENDAK SIAP 3 TAHUN LAGI