Sorting by

×

RM44 JUTA TANGANI ISU BEKALAN AIR KEM TERENDAK

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SUNGAI UDANG 26 Januari — Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM44 juta bagi pelaksanaan projek sistem retikulasi di Kem Terendak bagi mengatasi masalah bekalan air tidak mencukupi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu bekalan seperti air tidak mencukupi serta bil air yang tinggi antara cabaran dihadapi komuniti di kem berkenaan.

Justeru katanya, bagi pelaksanaan sistem retikulasi air untuk mengatasi masalah itu, kontraktor bagi projek tersebut dijangka dipilih April ini.

“Manakala kerja-kerja pelaksanaan dijangka siap pada pertengahan tahun 2028.

“Apabila projek ini siap, kita harap masalah bekalan air dalam kem ini dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kem Terendak di Sungai Udang, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM11 juta bagi menjalankan kerja penyelenggaraan dan membaiki Rumah-rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) kem terbabit.

“Peruntukan sebanyak RM11 juta sebagai kerja-kerja sambungan supaya kita dapat sediakan rumah-rumah yang selesa yang membolehkan keluarga tentera hidup dalam keadaan yang baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

311
Kongsi :
Previous post MINDEF PASTIKAN PEMBEKUAN PEROLEHAN TIDAK JEJAS OPERASI ATM
Next post LIMA SEKOLAH DALAM KEM TERENDAK TERIMA SUMBANGAN KOMPUTER RIBA