Sorting by

×

POLIS PANGGIL PEGAWAI ATM BANTU SIASATAN PENYEBARAN MAKLUMAT SULIT

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

SUNGAI UDANG 26 Januari – Beberapa pegawai tentera telah dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyebaran maklumat sulit berkaitan urusan perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di media sosial.

Perkara itu disahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika ditanya mengenai perkembangan mengenai laporan polis yang dibuat berkaitan penyebaran maklumat berkenaan.

Beliau berkata kes berkenaan masih disiasat oleh polis dan tindakan akan diambil sejurus siasatan selesai dilakukan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah pegawai yang dipanggil berikutan proses siasatan masih belum selesai.

“Kita dah laporkan kepada polis, siasatan itu perlu dilakukan oleh polis. Polis telah pun panggil beberapa pegawai untuk ditemu ramah, untuk disiasat dan sebagainya.

“Sehingga kini, saya percaya polis masih lagi melakukan siasatan dan saya percaya bila ia telah selesai, tentunya ia akan buat tindakan-tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kem Terendak di Sungai Udang, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

767
Kongsi :
Previous post MAIM AJAK AGENSI KORPORAT, NGO SANTUNI ANAK YATIM SEPANJANG RAMADAN