
PAGAR LONGKANG BAHARU TAMAN MERDEKA JAMIN KESELAMATAN PENGGUNA
KESIDANG 30 Januari – Penambahbaikan pagar longkang baharu di sepanjang Jalan Besar Taman Merdeka, Batu Berendam hingga ke Bulatan Angkasanuri dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya serta penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata, projek tersebut dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira aspek penjimatan kos serta keadaan pagar sedia ada.
Menurutnya, hanya struktur yang rosak dan uzur akan digantikan, manakala pagar besi yang masih berada dalam keadaan baik akan dicat semula bagi memastikan laluan sepanjang kira-kira dua kilometer itu kelihatan lebih kemas serta seragam.
“Untuk makluman, kita telah menerima peruntukan bagi penambahbaikan pagar di sepanjang Jalan Besar Taman Merdeka. Namun, ada pagar yang masih elok dan boleh digunakan semula. Jadi, kita tidak mahu membazir dengan membuang kesemuanya.
“Projek baik pulih berkenaan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM200,000 yang diperuntukkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan disalurkan menerusi MPHTJ,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, selain meningkatkan aspek keselamatan, penambahbaikan itu bertujuan memperindahkan persekitaran di sepanjang laluan berkenaan agar lebih teratur, selesa dan mesra pengguna.
“Kerja-kerja penambahbaikan ini dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan ini dan diharap dapat memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat,” katanya.
Terdahulu Allex Seah telah mengadakan lawatan turun padang bagi meninjau kerja-kerja penukaran pagar longkang baharu bersama Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) serta Ahli-ahli Majlis MPHTJ.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


