Sorting by

×

CMI SEDIA ‘PORT’ DAMAI TERBAIK DI TAMAN EKSTREM TASIK CHINCHIN

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

RIM 30 Januari – Taman Ekstrem Tasik Chinchin (TETC) yang terletak di bawah daerah Jasin kini menjadi satu lagi kawasan tarikan pelancongan menarik yang menjanjikan kedamaian dan ketenangan jauh dari hiruk pikuk kota.

Dikelilingi tasik dan alam semulajadi menghijau, pastinya lokasi ini wajar menjadi pilihan mereka yang ingin ‘sembuh’ daripada luka mahupun melupakan kesibukan kerja seketika.

Menariknya, sejak diuruskan sendiri oleh Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI), kawasan riadah itu kini mula berubah wajah dengan pelbagai penambahbaikan.

Daripada hanya sebuah tasik kosong, ia mula diwarnai dengan pelbagai tarikan buat pengunjung pelbagai peringkat umur.

Semua itu ditawarkan pada harga mampu milik khusus untuk pengunjung, pelancong mahupun penduduk sekitar.

Mengambil contoh taman tema air mini, ia hanya mengenakan bayaran RM6 seorang bagi dewasa atau kanak-kanak.

Manakala bagi yang mahu menginap, Villa TETC turut tersedia dengan harga serendah RM300 bagi villa dua bilik tidur yang turut dilengkapi satu bilik air, ruang tamu dan ruang pantri.

Bagi pemilik kenderaan rekreasi (RV) pula, TETC menjadi destinasi wajib singgah kerana di sini mereka dapat menikmati kedamaian seakan-akan berada di luar negara. Tidak perlu khuatir kerana tapak RV ini dilengkapi pelbagai kemudahan asas lengkap seperti soket elektrik, sinki, tandas dan pelbagai kemudahan lain yang tersedia.

6057536997590943934
TAMAN Ekstrem Tasik Chinchin turut menyediakan dewan besar untuk penganjuran pelbagai majlis. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Manakala bagi mereka yang memiliki kumpulan besar dan berminat dengan aktiviti perkhemahan, sebanyak 30 tapak ‘camping’ turut disediakan dengan kemudahan seperti tandas dan ruang barbeku.

Selain riadah dan rekreasi, TETC juga menyediakan dewan besar yang sesuai untuk pelbagai majlis seperti perkahwinan, aktiviti sukan, mahupun acara-acara lain yang boleh memuatkan 300 hingga 400 orang pada satu-satu masa.

Malah, kawasan ini juga memiliki kemudahan surau yang selesa untuk umat Islam menunaikan kewajipan, selain kawasan parkir yang luas untuk pengunjung.

Bagi yang gemarkan aktiviti sukan lasak, mereka boleh menguji adrenalin sambil menerokai keindahan alam dengan All-Terrain Vehicle (ATV) yang turut ditawarkan di sini.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga ‘petting zoo’ pertama di Jasin yang dikenali Jasin Mini Zoo, sekali gus menjadikan TETC sebagai destinasi mesra keluarga.

Jadi, kepada mereka yang berminat menikmati pelbagai tarikan yang ada di TETC, bolehlah menghubungi Bahagian Pemasaran CMI di talian 016-4576641.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post TIROID: APA PERLU ANDA TAHU?
Next post UTEM BANGUNKAN MAKMAL AI BERSAMA INSTITUSI TEKNIKAL SLOVAKIA