Sorting by

×

PUTRA 2 MELAKA DIPACU TEKNOLOGI PERUBATAN TERKINI

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 30 Januari – Sektor kesihatan Negeri Melaka terus diperkasa menerusi pelbagai usaha dan jalinan kerjasama strategik bersama syarikat kesihatan dan perubatan bertaraf global.

Antara usaha ke arah itu adalah melalui lawatan kerja Putra Specialist Hospital Melaka ke Shanghai, China, yang merangkumi tinjauan ke kilang pembuatan teknologi perubatan United Imaging Healthcare, sebuah syarikat global yang terkenal dengan penghasilan peralatan diagnostik dan perubatan berteknologi tinggi.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, lawatan tersebut bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan Putra Specialist Hospital Melaka 2 (PUTRA 2) yang dijangka dibangunkan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, pendedahan terhadap inovasi teknologi perubatan terkini amat penting ke arah menyediakan perkhidmatan kepakaran bertaraf antarabangsa, selari dengan aspirasi menjadikan Melaka sebagai hab pelancongan kesihatan terkemuka.

“Dalam lawatan ini, kami turut mengunjungi Cardiovascular Disease & Liver Cancer Centre, sebuah pusat perubatan yang menjalin kolaborasi strategik dengan United Imaging Healthcare serta menggunakan fasiliti diagnostik keluaran syarikat berkenaan dalam rawatan dan penyelidikan klinikal.

“Pusat ini juga aktif dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) klinikal, sekali gus menjadi rujukan penting dalam memahami aplikasi teknologi perubatan terkini dalam rawatan penyakit kardiovaskular dan kanser hati,” katanya.

Hee Sem, yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, mengetuai delegasi lawatan kerja tersebut bersama Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital Melaka, Mohd Zahiruddin Ahmad.

Pada Disember 2024, Kerajaan Negeri Melaka telah mengumumkan pembinaan PUTRA 2, yang bakal menjadi sebuah lagi fasiliti hospital pakar bagi merancakkan pembangunan sektor pelancongan kesihatan negeri.

Hospital pakar itu akan dibangunkan di atas kawasan seluas 8.8 hektar di Bukit Beruang dan hanya mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan dari Plaza Tol Ayer Keroh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

336
Kongsi :
Previous post PPSPM LAKSANA INISIATIF HIJAU, SEMAI BUDAYA CINTAI ALAM SEKITAR
Next post SABK PACU KECEMERLANGAN SM IMTIAZ ULUL ALBAB – MAIM