Sorting by

×

DILEMA BANJIR HAMPIR TEMUI TITIK NOKTAH

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

PAYA RUMPUT 18 Februari – Masalah banjir yang sebelum ini sering membelenggu beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput hampir menemui titik noktah apabila beberapa projek jangka panjang sedang dan bakal dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, penyelesaian isu banjir merupakan antara aku janji yang dibawa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021 yang lalu dan beliau bersyukur kerana dapat melunaskan janji tersebut.

Jelas beliau, antara projek yang sedang dilaksanakan adalah pembinaan Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal sebagai kolam dwifungsi mengatasi masalah banjir dan sumber air negeri yang menelan peruntukan kira-kira RM700 juta.

Jelas beliau, projek itu bakal memberi impak positif kepada kira-kira 10,000 penduduk di sekitar Krubong yang sebelum ini sering terkesan dengan masalah banjir berulang.

“Selain itu, kita juga menerima peruntukan RM6 juta bagi membina kolam takungan banjir di Taman Rambai Utama yang berdepan masalah banjir sejak lebih 20 tahun lalu.

“Melaka tidak seperti Kelantan atau Pahang. Di sana rakyat mungkin beranggapan banjir adalah adat apabila ‘berjiran’ dengan sungai, tetapi di sini berbeza dan ia berlaku atas pelbagai faktor, antaranya perbandaran.

“Apapun, saya bersyukur, masalah ini dapat diselesaikan dengan projek berimpak jangka panjang hasil kerjasama pelbagai agensi dan jabatan,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini bersempena Karnival Demi Paya Rumput.

Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, penyelesaian masalah itu menjadi cerminan komitmen berterusan beliau sebagai wakil rakyat dalam memastikan setiap janji yang dibuat kepada pengundi ditunaikan sebaik mungkin.

“Bagi saya, apa yang lebih penting adalah setiap apa yang dilakukan, manfaatnya dapat dirasai rakyat,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

239
Kongsi :
Previous post MELAKA PERKUKUH KERJASAMA PENDIDIKAN, DAKWAH DENGAN AL-AZHAR
Next post TOK RAOP SANTUNI ANAK MELAKA DI MESIR