Sorting by

×

PAYA RUMPUT DAPAT 4 SEKOLAH BAHARU DALAM 5 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

PAYA RUMPUT 19 Februari – Pembinaan beberapa sekolah baharu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput membuktikan manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dan wakil rakyat kawasan dalam terus memperkasa pendidikan anak bangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, pembinaan sekolah baharu itu merupakan antara lapan manifesto beliau yang berjaya direalisasikan demi kepentingan anak-anak Paya Rumput.

Kata Rais, inisiatif itu sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan masalah kepadatan murid di sekolah memandangkan DUN Paya Rumput mempunyai bilangan penduduk teramai berbanding DUN-DUN lain.

“Alhamdulillah, sepanjang mentadbir kawasan ini kita telah mendapat beberapa sekolah baharu antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong yang siap dibina dan sudah beroperasi.

“Selain itu, SMK Tanjung Minyak dan Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Tampoi pula sedang dalam pembinaan dan kita juga bakal menerima bangunan baharu SK Paya Rumput dengan kos tambahan RM26 juta.

“Alhamdulillah, dalam DUN ini juga terdapat Tabika Austisme pertama negara di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Tabika KEMAS Pra Tahfiz,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini sempena Karnival Demi Paya Rumput.

Dalam pada itu, Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri memaklumkan, selain infrastruktur dan kemudahan pendidikan, kebajikan murid serta pelajar dalam kawasan DUN Paya Rumput sentiasa diberi perhatian.

Jelasnya, ia dibuktikan menerusi pelbagai program pendidikan di sekolah, selain sumbangan wang tunai kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pemberian insentif dan sumbangan kepada murid dan pelajar.

“Saya juga meneruskan program tuisyen percuma pada setiap tahun yang menyasarkan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

468
Kongsi :
Previous post MANFAATKAN TEKNOLOGI AI DEMI KEMAJUAN ISLAM
Next post JALAN BATANG TIGA-TANGGA BATU, MASJID TANAH-SUNGAI UDANG BAKAL DINAIK TARAF