
MPAG SEDIA 13 TAPAK PASAR RAMADAN, 2 BAZAR AIDILFITRI
ALOR GAJAH 18 Februari – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menyediakan sebanyak 13 tapak pasar Ramadan dan dua tapak bazar Aidilfitri sempena Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.
Yang Dipertua MPAG, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, seperti tahun lalu, MPAG menyediakan enam tapak pasar Ramadan di Alor Gajah, manakala di Masjid Tanah ia membabitkan lima tapak pasar Ramadan dan dua tapak bazar Aidilfitri.
Katanya, secara keseluruhan, ia membabitkan 780 tapak untuk peniaga pasar Ramadan dan 102 tapak peniaga bazar Aidilfitri di bawah pentadbiran MPAG pada tahun ini.
“Bagi kawasan Alor Gajah, antara lokasi pasar Ramadan yang disediakan MPAG adalah di Bandar Satelit Pulau Sebang; Pekan Alor Gajah; Pusat Perniagaan Jelatang; Taman Sri Sutera; Pulau Sebang Utara (hadapan kedai Avon) dan Taman Puncak Kasa Heights.
“Manakala dalam kawasan Masjid Tanah pula membabitkan Kolej Matrikulasi Londang; Pusat Perniagaan Permatang Indah; Taman Perindustrian Londang; Taman Wira Indah dan Balai Raya Durian Daun Barat.
“Bagi bazar Aidilfitri pula ia akan diadakan di Bandar Baru Masjid Tanah dan di hadapan Pusat Tahfiz Masjid Tanah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, TPr. Saifuddin berkata, kesemua tapak telah diiklankan dan mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri dan pihak penganjur kini dalam proses mengumpul maklumat peniaga.
“Kita berharap sama seperti tahun sebelumnya, peniaga di pasar Ramadan dan bazar Aidilfiri di bawah MPAG dapat memastikan aspek kebersihan makanan dan persekitaran sentiasa dititikberatkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


