Sorting by

×

TUN DR. MOHD ALI HADIR CERAPAN HILAL RAMADAN

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

TANJUNG BIDARA 17 Februari – Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, hadir ke Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan 1447H/2026M Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, di sini, hari ini.

Ketibaan beliau kira-kira jam 6.30 petang disambut Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah selaku wakil rasmi Ketua Menteri dan Timbalan Mufti Melaka Hazarudin Baharudin.

Turut hadir pada majlis itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Mohd Hairulamin Mohd Sis serta lain-lain kenamaan.

Kompleks Falak Al-Khawarizmi merupakan antara 29 lokasi rasmi di negara ini untuk merukyah anak bulan.

Proses cerapan itu diketuai Timbalan Mufti selaku Jawatankuasa Rukyah dan Ahli Melihat Anak Bulan Melaka.

Cerapan bermula sekitar jam 7 petang dan berlangsung selama kira-kira 30 minit menggunakan alat Total Station dan teleskop moden.

Hasil rukyah anak bulan itu kemudian dilaporkan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR).

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Terdahulu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR) Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh umat Islam mula berpuasa adalah pada Khamis, 19 Februari 2026.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

571
Kongsi :
Previous post MASJID BAHARU CHENG PERDANA AKHIRI PENANTIAN 20 TAHUN
Next post ‘MUFTI BERSAMA UMMAH’ IMARAH RAMADAN DI MELAKA