Sorting by

×

‘MUFTI BERSAMA UMMAH’ IMARAH RAMADAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

TANJUNG BIDARA 17 Februari – Jabatan Mufti Negeri Melaka akan melaksanakan Program Mufti Bersama Ummah (MBU) di 12 masjid terpilih sepanjang Ramadan.

Timbalan Mufti Melaka Hazarudin Baharudin berkata, program MBU akan dilaksanakan di kesemua enam Parlimen dalam negeri ini dengan sasaran dua masjid bagi setiap Parlimen.

Jelas beliau, program tersebut bertujuan untuk mendekati masyarakat serta mengimarahkan
masjid dengan pengisian kerohanian sepanjang bulan Ramadan.

“Di semua masjid kita pergi program MBU ini akan dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan, diikuti dengan taqarrub Ramadan, majlis iftar, solat tarawih dan moreh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan 1447H/2026M Peringkat Negeri Melaka di Balai Cerap, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, di sini, hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Mengulas lanjut, Hazarudin berkata, selain MBU, Jabatan Mufti bersama seluruh agensi agama Negeri Melaka juga akan bekerjasama dalam pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan bulan Ramadan ini.

“Kita juga ada memanggil imam-imam jemputan terdiri daripada hafiz untuk memimpin solat tarawih, melaksanakan program berbentuk kolokium, forum dan seminar sepanjang Ramadan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

331
Kongsi :
Previous post TUN DR. MOHD ALI HADIR CERAPAN HILAL RAMADAN
Next post MAIM SEDIA 38 SKIM BANTUAN UNTUK MUALAF